3 Orang Penumpang Bergaduh Dalam Kapal Terbang Berpunca Daripada Anak Menangis
Hong Kong: Satu pergaduhan berlaku dalam sebuah pesawat yang sedang dalam penerbangan di China apabila seorang ibu diserang dua wanita yang mengadu anaknya terlalu bising.
Chan Juan Sung, 27, dalam penerbangan dari bandar Chongqing di barat daya China ke Hong Kong apabila anaknya menangis hingga mengganggu tidur dua wanita di belakang.
Kedua-dua wanita berkenaan menyuruh Chan ‘mendiamkan’ anaknya, tetapi teguran itu tidak disambut dengan baik.
Penumpang Xiong Wan, 45, berkata: “Saya duduk di sebelah dua wanita itu. Ibu bayi berkenaan menjerit ke arah mereka sambil berdiri dan menumbuk seorang wanita berkenaan.
“Mereka kemudian membalas serangan itu dan menumbuk Chan hingga keadaan menjadi tidak terkawal.
“Bayi itu mula menangis sekuat hati sementara penumpang lain menjerit. Ia seperti dalam filem.”
Ketiga-tiga wanita itu akhirnya diasingkan oleh kru Air China dan ditahan untuk disoalsiasat sebaik tiba di Hong Kong.
Kejadian itu berlaku beberapa hari selepas seorang penumpang yang menaiki pesawat buat kali pertama membuka pintu kecemasan ketika kapal terbang masih bergerak di lapangan terbang di Sanya, kerana tidak sabar hendak turun.
Pergaduhan dalam pesawat membabitkan pelancong China dan perbuatan aneh mereka dalam penerbangan menyebabkan pihak berkuasa China mengeluarkan garis panduan ketat bagi memastikan rakyat negara itu berkelakuan baik di luar negara.
Malah, Presiden Xi Jinping turut mengingatkan penduduk negara itu supaya membaiki kelakuan mereka ketika melancong.
0 Response to "3 Orang Penumpang Bergaduh Dalam Kapal Terbang Berpunca Daripada Anak Menangis"
Post a Comment