Kota Bharu Hadapi Masalah Debu Selepas Banjir


KESAN daripada banjir yang melanda, rakyat Kelantan kini dilaporkan menghadapi krisis pasca bencana alam itu apabila udara diselubungi dengan debu.
Menurut laporan akhbar Sinar Harian, orang ramai terpaksa menggunakan topeng muka bagi menghalang mereka daripada tersedut habuk yang bertebaran di udara.


Bukan itu sahaja, senario di laluan utama bandar Kota Bharu yang telah ditenggelami air sebelum ini bagai hilang ‘serinya’ apabila kesan lumpur jelas kelihatan di serata tempat.

Kebanyakan premis perniagaan di sekitar Kelantan juga masih belum beroperasi sepenuhnya, termasuk gerai-gerai makan. Namun ada segelintir yang nekad membuka kedai bagi mencari rezeki walaupun dalam situasi berhabuk.

Keadaan ini dilihat bakal mencetuskan masalah baharu buat penduduk kerana jika berterusan, ia boleh mendedahkan kepada masalah kesihatan berkaitan pernafasan, batuk dan sakit mata.
Menurut salah seorang penduduk yang juga peniaga, Ling Kok Chong, 50, dia terpaksa mengenakan topeng muka ketika berada di luar rumah akibat debu yang tebal.
“Tidak kira kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan, mereka perlu berganding bahu selesaikan masalah rakyat ini selain menumpukan perhatian pada kerja-kerja membantu mangsa banjir,” sarannya mewakili suara hati orang ramai.

0 Response to "Kota Bharu Hadapi Masalah Debu Selepas Banjir"

Post a Comment