Akhirnya dia akur mendedahkan nama selepas empat tahun menggunakan identiti Encik Mimpi iaitu lelaki di sebalik topeng putih setiap kali membuat persembahan atau menghadiri majlis.
“Nama saya Mohd Azam Zamri dan berusia 26 tahun dan saya berasal dari Kuala Lumpur,” katanya di majlis pelancaran album Encik Mimpi-Selamat Malam Cinta di ibu kota, kelmarin.
Pendedahan itu mengundang perhatian kakitangan pengurusan Encik Mimpi Production (EMP) termasuk pengedar kandungan digital Indigital Sdn Bhd yang menunjukkan reaksi terkejut.
Kata Encik Mimpi, dia tiada masalah untuk mendedahkan namanya sebelum ini, tetapi kerana mahu mengekalkan imej misteri yang dikenali oleh pengikut setianya di blog, YouTube dan akaun laman sosialnya yang lain, dia lebih selesa dikenali dengan nama penanya itu.
Wajah Sebenar Encik Mimpi |
Dilamar orang Indonesia
Lagu Ayuh Tinggalkan Dia ciptaannya sendiri itu turut membawa tuah kepada penyanyi dengan kelulusan ijazah kejuruteraan dari Universiti Malaya itu apabila dilamar syarikat rakaman Indonesia, Proactive sebagai artis naungan mereka selama dua tahun.
“Alhamdulillah mereka melamar saya melalui e-mel selepas tertarik mendengarkan lagu Ayuh Tinggalkan Dia.
“Memang dalam album saya lagu ini yang paling mencabar kerana muziknya agak berbeza selain disuntik sedikit elemen dangdut. Tidak mustahil elemen dangdut itu antaranya membuatkan pihak di Indonesia tertarik.
“Selepas meneliti kontrak termasuk latar belakang beberapa artis yang menaungi syarikat itu, saya bersetuju untuk menerima lamaran ini.
“Komitmen saya adalah mengikuti promosi jelajah yang disusun, memenuhi undangan persembahan, perlu menghasilkan lagu selain merekodkan semula semua lagu yang terdapat dalam album Encik Mimpi – Selamat Malam Cinta dalam dialek Indonesia.
Sanggup berhenti kerja
Berikutan komitmen yang semakin tinggi dalam bidang muzik, Encik Mimpi nekad melepaskan jawatannya dengan sebuah syarikat teknologi maklumat bagi memberi tumpuan sepenuhnya pada nyanyian.
“Dulu saya anggap pembabitan dalam bidang muzik hanya suka-suka, tetapi kini menjadi satu bidang yang serius,” katanya.
Tidak menyesal de­ngan keputusannya itu, Encik Mimpi yakin dia mampu berjaya dalam bidang nyanyian selagi ada usaha, keinginan dan bersedia dengan perancangan masa depan.
Menyingkap barisan lagu yang menghiasi album sulungnya, selain Rindukanlah dan Ayuh Tinggalkan Dia, empat lagu lain yang tidak kurang menarik adalah Menu Cintaku (gandingan bersama kumpulan AT-RI), Hikmah Di Atas Segalanya (paduan suara bersama Ronnie Hyper Act, Nomad dan Aepul Roza) dan Selamat Malam Cinta yang turut ditampilkan dalam versi Indonesia.
0 Response to "Wajah Sebenar Encik Mimpi Didedahkan"
Post a Comment